Friday, December 7, 2018

TOPIK 14: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN



Bab ini pula membincangkan pengurusan alam pembelajaran di sekolah. Menurut Haji Samsudin bin Md Noor, pengurusan bermaksud satu proses untuk mendapatkan penyertaan, kerjasama dari semua ahli dalam mencapai matlamat kumpulan. Sememangnya, guru memainkan peranan yang penting di dalam bilik darjah selain mengajar iaitu sebagai pengurus, iaitu mengurus rutin bilik darjah, mengurus pelajar supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif dan sebagainya.

Kecekapan guru dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengurus dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Menurut Noraisah Ibni Qasim, pengurusan alam pembelajaran penting bagi memenuhi masa yang diperuntukkan untuk mengajar, memastikan objektif pembelajaran dan pengajaran tercapai serta tidak membosankan kerana dapat menarik perhatian pelajar terhadap pengajaran tersebut.

Selain itu, pengurusan alam pembelajaran melibatkan persediaan ke alam persekolahan. Terdapat beberapa asas kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru bagi menguruskan pembelajaran bilik darjah. Antara asas kemahiran bagi menguruskan pembalajaran bilik darjah ialah pengetahuan guru tentang nama dan latar belakang pelajar, prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah dan perancangan yang rapi berkaitan dengan susun atur di bilik darjah.

Guru perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki kelas. Elemen penting yang perlu disediakan sebelum memasuki kelas ialah kebijaksanaan dan penilitian dalam perancangan, pelaksanaan, penyeliaan, penilaian dan refleksi. Guru juga perlu merancang kurikulum, sukatan, huraian sukatan, buku teks, bahan rujukan tambahan dan maklumat tambahan daripada pelbagai sumber termasuk laman web. Guru perlu menyediakan bahan bantu mengajar dengan menitikberatkan aspek yang melibatkan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran supaya kelas tidak menjadi beku dan kaku diikuti dengan perancangan kemajuan pelajar, merangka rancangan kerja tahunan, termasuk ujian penilaian dan pentaksiran.

Di samping itu, suasana dalam bilik darjah mempunyai pengaruh kepada para pelajar dalam pembelajaran. Terdapat beberapa ciri iklim bilik darjah yang sesuai untuk sesi pengajaran dan pembelajaran iaitu dari segi fizikal, emosi dan sosial. Bagi ciri fizikal, guru perlu memastikan susun atur yang tidak begitu padat di dalam kelas dan memastikan kelas mempunyai pelbagai kemudahan kepada para pelajar. Dari segi emosi pula, guru perlu bersifat peramah, suka hati, menyayangi pelajar dan mengharapkan kejayaan pelajar mengikut tahap kemampuan pelajar. Dari segi sosial pula, ia melibatkan hubungan pelajar dengan rakan sebaya bagi membantu mereka dalam menyiapkan kerja rumah dan menjalankan tugasan kumpulan.

Aktiviti pembelajaran perlu dikendalikan dalam suasana yang kondusif. Antara cara mewujudkan suasana yang kondusif dalam kelas ialah dengan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan akhlak dan kemahiran tertentu dapat diterapkan dengan lebih mudah dan berkesan. Guru juga dapat memberikan motivasi yang berkesan kepada para pelajar dan menanam nilai murni dalam diri pelajar dengan lebih mudah dan berkesan.

Proses pembelajaran yang lebih menyeronokkan dapat membantu para pelajar memberi tumpuan dan memahami pelajaran dalam kelas. Teknik pembelajaran yang menyeronokkan perlu diaplikasikan di sekolah seperti dengan menggunakan alat bantuan mengajar, aktiviti berkumpulan dan memberikan peluang kepada pelajar memberi pendapat dan pandangan. Kaedah supaya pelajar lebih mudah ingat pula ialah dengan menggunakan kaedah akronim, menyuruh pelajar ke hadapan untuk menyelesaikan masalah di papan putih, menggunakan video dan menggunakan kaedah gallery walk.

Kesimpulannya, pengurusan alam pembelajaran ini sangat penting kepada para pelajar bagi memudahkan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran dan lebih memahami apa yang mereka pelajari. Selain itu, proses pemindahan maklumat juga dapat berjalan dengan lancar tanpa gangguan dan pelajar dapat lebih fokus kepada sesuatu topik sahaja. Guru perlu menguasai beberapa kemahiran dan teknik sebelum memasuki kelas bagi memastikan para pelajar dapat menerima ilmu pengetahuan dengan teknik yang mudah dan berkesan.

TOPIK 13: SEKOLAH DAN PERSEKITARAN



Bab ini bertujuan untuk memastikan kita dapat memahami, berbincang dan mengenal pasti aspek-aspek berkaitan dengan hubungan organisasi sekolah atau pendidikan dengan masyarakat, isu pendidikan semasa dan dapat mengaitkannya dengan pendidikan globalisasi. Community Based Education (CBE) didefinisikan sebagai proses individu dewasa menjadi kompeten menangani keterampilan, sikap dan konsep dalam hidup di dalam dan mengawal aspek tempatan dari masyarakat melalui partisipasi secara demokratik (Michael W. Galbraith). Globalisasi adalah proses di mana kejadian, keputusan dan kegiatan di salah satu bahagian dunia menjadi suatu konsekuensi yang signifikan bagi individu dan masyarakat di tempat, daerah atau negara lain yang jauh. Pendidikan memerlukan tindakan secara holistik agar masyarakat memperoleh mutu pendidikan yang setara, bersifat futuristik dalam menghadapi masa depan yang penuh persaingan.

Pelaksanaan hubungan pendidikan bersama masyarakat ialah melalui pelaksanaan pendidikan formal iaitu sekolah yang memiliki program pendidikan untuk masyarakat, Non formal iaitu ahli-ahli yang memiliki kegiatan untuk masyarakat di luar fungsinya dan In-formal iaitu kegiatan pendidikan yang ada dan berkembang di dalam masyarakat.

Antara tujuan hubungan pendidikan dengan masyarakat ialah menggalakkan inisiatif meningkatkan komitmen dan penglibatan masyarakat terhadap sekolah melalui pelaksanaan desentralisasi serta menggalakkan masyarakat membangunkan inovasi dan mengganti peranan sekolah meningkatkan mutu, kerelevanan, efesien kepada pihak sekolah.

Antara isu dan cabaran pendidikan semasa ialah integrasi nasional. Integrasi nasional melalui Dasar Pelajaran boleh dipupuk melalui penerapan nilai, keberkesanan mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan, konsep Sekolah Wawasan, pemantapan aktiviti kurikulum dan kokurikulum dan perkasakan bahasa Kebangsaan.

Isu dan cabaran pendidikan semasa kedua ialah pendemokrasian. Pendidikan tumpuan dalam pendemokrasian pendidikan ialah untuk membasmi buta huruf tanpa mengira latar belakang, tahap pendidikan yang disediakan bertaraf universal dan penyediaan infrastruktur terbaik kepada semua sekolah seluruh negara. Isu dan cabaran ketiga ialah perkembangan profesionalisme guru iaitu memimpin perubahan, utamakan daya pengeluaran, perkembangan semasa dan perkembangan teknologi.

Kesimpulannya, negara Malaysia perlu melibatkan semua pihak dalam proses meningkatkan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran sama ada di dalam atau luar bilik darjah. Dengan ini, negara kita dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan terbilang untuk mendukung aspirasi negara supaya dapat melahirkan insan yang mempunyai rohani dan intelek yang terbilang.

TOPIK 12: PENGURUSAN PELBAGAI UPAYA



Pengurusan murid pelbagai upaya merupakan satu langkah yang diambil untuk membantu murid-murid yang mengalami masalah dalam pembelajaran. Secara amnya, pengurusan murid pelbagai upaya ini lebih terarah kepada program pendidikan khas yang dijalankan ke atas peajar-pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran sama ada secara fizikal atau mental. Pendidikan khas itu sendiri merujuk kepada program yang dibentuk untuk memenuhi keperluan pendidikan murid-murid yang berkeperluan khas. Pendidikan khas juga merujuk kepada satu pendekatan, rancangan pendidikan, strategi, kaedah dan teknik untuk mengajar murid-murid istimewa kerana mereka tidak berupaya untuk mencapai target yang sepatutnya daripada program sekolah aliran perdana.


Kajian mengenai pengurusan murid pelbagai upaya ini memfokuskan kepada empat topik perbincangan iaitu pemulihan, pengayaan, pelbagai kecerdasan dan berkeperluan khas. Program pemulihan dan pengayaan diwujudkan atas arahan Kementerian Pelajaran Malaysia bertujuan untuk memastikan murid-murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran mampu untuk belajar sekiranya guru-guru menggunakan kaedah pembelajaran yang sewajarnya. Manakala pelbagai kecerdasan ialah teori yang diperkenalkan oleh seorang tokoh barat iaitu Howard Gardner. Teori ini membincangkan tentang pelbagai keupayaan yang dimiliki oleh murid yang mempunyai kecerdasan dan kepintaran luar biasa. Aspek keempat yang diberi tumpuan dalam kajian ini ialah bekeperluan khas. Melalui topik ini, pelbagai masalah pembelajaran dibincangkan seperti masalah disleksia, hiperaktif, sindrom down, autisme dan kerencatan mental. Selain itu, aspek murid pintar cerdas juga turut diberi penekanan dalam kajian ini.

            Program Pemulihan juga merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan bertujuan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Golongan pelbagai upaya ini perlu dipulihkan sebaik sahaja masalah yang dihadapi itu dapat dikesan oleh guru mata pelajaran atau guru bilik darjah dengan langkah-langkah yang sewajarnya. Pemulihan merupakan satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran alternatif yang diguakan untuk membantu murid yang menghadapi masalah di dalam kelas. Pelaksanaan program pemulihan ini bermatlamat untuk menghakis jurang perbezaan terutamanya pencapaian murid dalam sesuatu aktiviti.

            Selanjutnya, pengayaan pula merupakan aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan sama ada di dalam waktu sekolah atau di luar kawasan sekolah. Aktiviti pengayaan disediakan untuk semua murid di dalam kelas, sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah dan sama ada kumpulan cerdas atau sederhana cerdas. Dalam kajian terhadap pengurusan murid pebagai upaya ini, pengayaan merujuk kepada aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh pelajar yang bermasalah pembelajaran untuk menambahkan pengetahuan dan memperluaskan pengalaman mereka. Melalui pengayaan ini guru perlu menyediakan bahan bantu belajar seperti kad-kad bacaan tambahan, lembaran kerja, permainan dan rekreasi, dan alat-alat teknologi yang lain.

            Konklusinya, pelajar-pelajar yang mempunyai pelbagai upaya memerlukan pelajaran pada kelajuan yang sesuai. Pengurusan murid merupaka satu bidang yang penting disekolah. Maka dapat difahami bahawa pengurusan pelbagai upaya adalah merupakan sebuah usaha untuk membantu ramai individu lain yang mempunyai keupayaan yang berbeza untuk turut sama berjaya dalam akademik.

TOPIK 11: PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA



Budaya sekolah merujuk kepada cara dan gaya guru dan staf bekerja dalam satu kumpulan. Budaya sekolah merupakan sebahagian budaya masyarakat kerana sekolah itu lahir daripada keperluan masyarakat. Di dalam budaya sekolah, terkandungnya corak idea, norma pemikiran dan nilai-nilai yang menyumbang kepada pembentukan kelakuan individu. Antara budaya yang terdapat dalam sekolah itu ialah budaya belajar, budaya berpakaian, budaya hormat menghormati, budaya membaca, budaya penyayang dan sebagainya.

Budaya ini selalu dipraktikkan dalam sekolah bandar dan luar Bandar. Budaya-budaya ini harus dilaksanakan dan diamalkan dalam diri pelajar supaya ia kekal dalam kehidupan mereka. Seterusnya budaya berpakaian juga penting dalam peringkat sekolah kerana ia akan membentuk peribadi mereka dan ia boeh membezakan pakaian pelajar sekolah dengan pakaian awam. Kesimpulannya, pengurusan pelbagai budaya amat penting dalam kehidupan pelajar dan boleh menegajar erti berdisiplin. Di dalam sesebuah organisasi manusia tidak bekerja seorang diri, apapun tugasnya dan peranannya seseorang itu tetap perlukan orang lain untuk membantunya atau terlibat sama. Oleh itu budaya yang baik itu harus perpaduan, bekerjasama, bantu-membantu, hormat menghormati dan nasihat-menasihati.

Pendidikan pelbagai budaya
                 Kepelbagaian latar belakang individu dalam masyarakat mempengaruhi kepelbagaian latar belakang para pelajar dalam institusi pendidikan (Banks, 1989). Dalam konteks Malaysia, para pelajar di institusi pendidikan terdiri daripada pelajar yang memiliki pelbagai latar belakang berbeza seperti agama, etnik, bahasa, dan budaya. Hal ini menunjukkan kewajaran mengenai kepentingan pendidikan pelbagai budaya.

Pendidikan pelbagai budaya ialah proses atau strategi pendidikan yang melibatkan lebih   daripada satu budaya, yang ditunjukkan melalui bahasa, etnik, atau ciri-ciri ras (Saha, 1997). Pendidikan pelbagai budaya boleh berlaku dalam pendidikan formal atau tidak formal. Tujuan pendidikan pelbagai budaya adalah untuk mewujudkan kesedaran, toleransi, pemahaman, dan pengetahuan yang mengambil kira perbezaan dan persamaan antara budaya dan kaitannya dengan pandangan dunia, konsep, nilai, keyakinan, dan sikap.

          Pendidikan pelbagai budaya dapat dilihat dari tiga aspek: konsep, gerakan, dan proses (Banks 1989). Dari aspek konsep, pendidikan pelbagai budaya merupakan idea yang melihat semua pelajar mempunyai hak yang sama untuk belajar di dalam kelas tanpa membezakan mereka dari segi jantina, kelas sosial, etnik atau kriteria lain. Dari aspek gerakan, pendidikan pelbagai budaya didefinisikan sebagai usaha untuk mengubah institusi-institusi pendidikan sehingga pelajar daripada semua kaum, kelas sosial, jantina dan lain-lain memiliki peluang yang sama untuk belajar. Dari aspek proses, pendidikan pelbagai budaya dapat difahami sebagai proses untuk mencapai tujuan agar kesamaan pendidikan dapat dicapai oleh semua pelajar.

Prinsip pendidikan pelbagai budaya
         Pendidikan pelbagai budaya adalah pendidikan asas untuk menyediakan semua pelajar bagi memberi sumbangan secara maksimum dalam kehidupan dunia masa sekarang. Pendidikan pelbagai budaya harus termasuk dalam setiap kurikulum. Pendidikan pelbagai budaya meliputi tujuan-tujuan pembelajaran afektif dan kognitif. Populasi pelajar dengan latar belakang yang pelbagai akan mengarah kepada pembelajaran yang terbaik bagi setiap individu pelajar.

Pendekatan pelaksanaan pendidikan pelbagai budaya
          Guru menolong pelajar untuk meningkatkan pencapaian akademik dalam semua bidang termasuklah kemahiran asas dengan menggunakan bahan pengajaran yang sensitif dan sesuai dengan latar belakang pelajar. Guru memberi perhatian kepada suara hati pelajar. Komunikasi secara verbal dan bukan verbal antara guru dan pelajar hendaklah dianalisis untuk meningkatkan penyertaan pelajar semasa proses pembelajaran.

           Pelajar perlu merasa selesa dan diterima apabila mereka membawa identiti budaya mereka ke dalam bilik darjah. Pengajaran pendidikan pelbagai budaya juga harus fleksibel kerana tidak ada satu pun kaedah pembelajaran sesuai untuk seluruh pelajar. Pengajaran pendidikan pelbagai budaya adalah berpusatkan pelajar, tidak sesuai apabila menggunakan kaedah kuliah. Pendidikan pelbagai budaya berasas kepada prinsip: penghargaan, empati dan kesamarataan cara belajar pelajar dan cara guru mengajar hendaklah difahami bagi membina dan mengembangkan kaedah pengajaran yang lebih berkesan. Pendidikan pelbagai budaya hendaklah dimasukkan ke dalam kurikulum secara formal.

        Pendidikan pelbagai budaya mesti memberi kesan kepada kurikulum di setiap peringkat. Pendidikan pelbagai budaya hendaklah mengajar pelajar untuk berfikir secara kreatif dengan memberi kebebasan untuk bertanya. Memerlukan pemahaman terhadap budaya kaum lain. Pendidikan pelbagai budaya mesti menggunakan masyarakat sebagai sumber.

Pengurusan pelbagai budaya dalam bilik darjah

 Banks (1989) menyatakan sensitif terhadap tingkah laku para pelajar dari pelbagai latar belakang. Sensitif terhadap kemungkinan wujudkan kontroversi tentang topik yang diajar. Menggunakan teknik pembelajaran secara berkumpulan (koperatif) untuk meningkatkan integrasi etnik dalam pembelajaran.

Najeemah (2017) menyatakan guru mesti tidak berat sebelah dan perlu berfikiran terbuka. Guru perlu jujur dan menghargai alternatif budaya seperti bahasa, kepercayaan nilai dan tingkah laku. Guru mestilah menggangap bahawa kepelbagaian budaya memberi manfaat kepada mereka. Dengan pengetahuan yang ada, guru dapat memahami pelajar daripada budaya yang berlainan



TOPIK 10: PENGURUSAN PENASIHATAN MURID



Topik ini berkaitan dengan pengurusan penasihatan murid. Bab ini menjelaskan tentang fungsi seorang guru bukan sahaja mengajar bahkan sebagai penasihat kepada para pelajarnya agar mereka yang mempunyai masalah dapat dibantu dengan sebaiknya. Sesi kaunseling terhadap pelajar amat perlu terutamanya bagi pelajar yang mempunyai masalah dalam pembelajaran mahupun kendiri.

Pengurusan penasihatan murid ini sangat penting untuk dilaksanakan agar masalah-masalah yang berlaku dapat diatasi hingga ke akar umbi. Namun begitu, pelbagai aspek haruslah ditekankan ketika memberikan sesi kaunseling dan bimbingan iaitu dengan mematuhi kod etika bimbingan dan kaunseling serta tidak melakukan perkara yang bercanggah daripada aspek bimbingan dan kaunseling. Sebagai seorang guru, sikap profesional dalam menangani isu dan masalah pelajar sangat diperlukan agar pelajar dapat memberikan kerjasama dalam menyelesaikan masalahnya. 

Antara jenis perkhidmatan binbingan yang disediakan ialah perkhidmatan memberi maklumat (menyebarkan maklumat pelajaran, kerjaya dan lain-lain), perkhidmtan petempatan (membantu murid-murid memilih kegiatan bidang kokurikulum yang sejajar dengan kebolehan, minat dan kemampuannya), perkhidmatan mencegah penyalahgunaan dadah (memupuk rasa benci terhadap dadah), perkhidmatan perundingan dan rujukan (merancang bersama-sama guru tentang cara-cara yang paling berkesan untuk megawasi kemajuan murid-murid), perkhidmatan  penyelarasan sumber (menjadi penyelaras untuk kebajikan majikan, agensi-agensi kebajikan dan orang-orang kenamaan tempatan dalam program bimbingan di sekolah), perkhidmatan  dengan ibu bapa (bekerjasama dengan ibu bapa dalam mewujudkan disiplin di kalangan murid-murid) dan perkhidmatan penilaian (mengadakan program pembimbing rakan sebaya dan program latihan).

            Tuntasnya, pengurusan penasihatan murid merupakan suatu bentuk tindakan untuk memberi bimbingan dan panduan kepada murid untuk membuat pilihan yang baik untuk kehidupan mereka dan ia juga merupakan suatu tugas yang memerlukan  ibu bapa, pihak sekolah, guru dan murid untuk memberi kerjasama bagi sama-sama terlibat untuk membantu.

TOPIK 9: PENGURUSAN TINGKAH LAKU



            Topik 9 ini berkaitan dengan peraturan dan disiplin murid, pengurusan devian dan salah laku serta pekeliling dan peraturan. Guru hendaklah menangani masalah devian yang berlaku dalam kalangan pelajar secara profesional. Guru juga mestilah bijak dalam mencorak anak didiknya agar mereka tidak berasa tersisih dan melakukan salah laku. Pelajar memerlukan perhatian yang sama rata daripada guru dan hal ini haruslah dilaksanakan oleh guru tanpa ada unsur pilih kasih.

Guru perlu membimbing tingkah laku murid ke arah positif dan menghentikan tingkah laku negatif agar murid bebas dari sebarang gangguan. Terdapat beberapa langkah asas bagi pengurusan tingkah laku iaitu dengan mengenal pasti jenis tingkah laku yang hendak dikaji terlebih dahulu dan kemudian tentukan sasaran. Seterusnya pilih strategi yang hendak digunakan serta mengkaji kesan dan akhir sekali mengaplikasi strategi baru jika perlu.

Melalui teknik modifikasi, guru perlu menggunakan satu sistem pengurusan tingkah laku bermasalah dengan membuat pemantaun dan penilaian dalam bilik darjah. Penyimpanan rekod salah laku murid-muridnya seperti’ bila ia berlaku dan bagaimana ia berlaku’ kerana proses merokod ini amat penting dalam teknik memodifikasikan tingkah laku. Antara teknik modifikasi lain ialah peneguhan. Di dalam peneguhan positif, kebarangkalian berulangnya tingkah laku yang diingini yang ditambah manakala melalui peneguhan negatif kebarangkalian berulang tingkah laku operan di tambah dengan memindah atau menghapuskan stimuli yang menggunakan.

Pengenaan denda pula adalah bertujuan untuk menghentikan sesuatu tingkah laku yang tidak diingini. Semua hukuman denda harus dimaklumkan kepada murid dan pihak sekolah menentukan bahawa sesuatu hukuman betul-betul dilaksanakan. Behavioris berpendapat bahawa tingkah laku yang baik itu diberi ganjaran dan juga pada masa yang sama diberi hukuman terhadap tingkah laku yang tidak diingini. Skinner pula berpandangan bahawa denda itu hanya boleh membawa kesan dalam tempoh yang singkat sahaja.

Reverse psychology pula menggunakan psikologi untuk modifikasikan tingkah laku negatif kepada positif. Kemahiran guru untuk memahami psikologi murid, mengenal pasti sikap, pandangan dan pemikiran dalamannya adalah amat diperlukan. Selain itu, shaping pula merupakan satu usaha memberikan ganjaran kepada murid setiap kali dia semakin hampir kepada tingkah laku yang baik. Ganjaran yang ditawarkan oleh guru menjadi semakin besar apabila murid bergerak kearah pencapaian tigkah laku yang ditetapkan.

Kesimpulannya, pengurusan tingkah laku ini adalah bermula daripada guru dengan menunjukkan tingkah laku yang baik terlebih dahulu. Setiap murid mempunyai sikap yang berbeza maka guru hendaklah belajar untuk memahami sikap murid dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas sesuatu tindakan itu.

TOPIK 8: STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN


Pengurusan bilik pembelajaran adalah amat penting dalam pemastikan kelancaran proses pembelajaran dan pengajaran yang cekap dan berkesan. Bilik darjah merupakan tempat murid ditempatkan dan disitu juga merupakan tempat dimana proses PDP dijalankan.

            Berdasarkan topik ini didapati bahawa faktor yang mempengaruhi pengurusan bilik darjah ialah faktor fizikal penyusanan bilik darjah dapat menggalakkan atau menghalang sesuatu pembelajaran. Menurut Sharifah Alwiah Alsagof, persekitaran fizikal bilik darjah yang baik akan dapat meningkatkan kuasa serta sumber pengajaran guru. Strategik pengurusan bilik pembelajran meliputi aspek penyusunan tempat duduk pelajar, meja guru dan melakukan rutin bilik darjah. Dari segi bentuk penyusunan kerusi meja pelajar, kedudukan susunan kerusi dan meja pelajar yang sistematik akan memudahkan para pelajar untuk memberi perhatian terhadap apa yang sedang diajar oleh guru di dalam bilik darjah. Manakala, meja guru pula adalah berada di bahagian hadapan kelas dan guru harus berada di sekitar meja pelajar bagi pembantu dalam proses pembelajaran. Rutin bilik darjah adalah seperti membuat pemeriksaan tentang keadaan fizikal bilik darjah dan ianya perlukan dilakukan pada waktu yang telah ditetapkan. 

            Interaksi dalam bilik darjah adalah satu proses saling bertindak yang berlaku di antara sekurang-kurangnya dua pihak. Istilah dua pihak bermaksud sama ada ia merupakan orang perseorangan ataupun sekumpulan manusia jenis interaksi bercorak lisan seperti interaksi sehala atau tradisional, interaksi dua hala antara guru dan murid, interaksi dua hala antara murid dan murid, interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid dan interaksi komputer.

            Kepimpinan dan kaedah mengajar guru sememangnya adalah amat mempengaruhi suasana bilik darjah. Suasana PDP yang demokratik menggalakkan pelajar untuk bekerjasama. Guru boleh mempengaruhi pelajaran secara langsung seperti, sikap selalu marah, memberi arahan dan terlalu kritikal. Guru yang mempengaruhi pelajar secara tidak langsung adalah melalui menerima perasaan pelajar tanpa menakutkannya, memuji pelajar dan menggalakkan mereka menggunakan dan menerima idea pelajar lain.

Terdapat beberapa elemen-elemen komunkasi yang berkesan dalam PDP. Guru hendaklah seorang yang bermaklumat dan mempunyai pengetahuan. Berkemahiran berucap dalam menyampaikan idea. Ini ditentukan oleh elemen-elemen seperti telah menguasai isi pelajaran; mampu menyediakan alat bantu mengajar yang menarik dan berkesan, kontak mata, bahasa badan, sentuhan, merumus isi pelajaran dalam bahasa yang mudah bersedia berbincang dengan murid. Komunikasi merupakan eleman yang sangat penting dalam menjadikan proses penyampaian maklumat lebih berkesan dan lancar.

Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah haruslah dilakukan melalui kerjasaa diantara guru dan pelajar bagi memastikan suasana kelas sentiasa ceria dan selesa lantas dapat mengurangkan masalah disiplin.