Bab ini pula
membincangkan pengurusan alam pembelajaran di sekolah. Menurut Haji Samsudin
bin Md Noor, pengurusan bermaksud satu proses untuk mendapatkan penyertaan,
kerjasama dari semua ahli dalam mencapai matlamat kumpulan. Sememangnya, guru
memainkan peranan yang penting di dalam bilik darjah selain mengajar iaitu sebagai
pengurus, iaitu mengurus rutin bilik darjah, mengurus pelajar supaya
menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas, mengurus keadaan fizikal
bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif dan sebagainya.
Kecekapan guru dalam
menjalankan tanggungjawab sebagai pengurus dapat membantu meningkatkan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Menurut Noraisah Ibni Qasim,
pengurusan alam pembelajaran penting bagi memenuhi masa yang diperuntukkan
untuk mengajar, memastikan objektif pembelajaran dan pengajaran tercapai serta
tidak membosankan kerana dapat menarik perhatian pelajar terhadap pengajaran
tersebut.
Selain itu,
pengurusan alam pembelajaran melibatkan persediaan ke alam persekolahan.
Terdapat beberapa asas kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru bagi menguruskan
pembelajaran bilik darjah. Antara asas kemahiran bagi menguruskan pembalajaran
bilik darjah ialah pengetahuan guru tentang nama dan latar belakang pelajar,
prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah dan perancangan yang rapi
berkaitan dengan susun atur di bilik darjah.
Guru perlu bersiap
sedia dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki kelas. Elemen penting yang
perlu disediakan sebelum memasuki kelas ialah kebijaksanaan dan penilitian
dalam perancangan, pelaksanaan, penyeliaan, penilaian dan refleksi. Guru juga
perlu merancang kurikulum, sukatan, huraian sukatan, buku teks, bahan rujukan
tambahan dan maklumat tambahan daripada pelbagai sumber termasuk laman web.
Guru perlu menyediakan bahan bantu mengajar dengan menitikberatkan aspek yang
melibatkan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran supaya
kelas tidak menjadi beku dan kaku diikuti dengan perancangan kemajuan pelajar,
merangka rancangan kerja tahunan, termasuk ujian penilaian dan pentaksiran.
Di samping itu,
suasana dalam bilik darjah mempunyai pengaruh kepada para pelajar dalam
pembelajaran. Terdapat beberapa ciri iklim bilik darjah yang sesuai untuk sesi
pengajaran dan pembelajaran iaitu dari segi fizikal, emosi dan sosial. Bagi
ciri fizikal, guru perlu memastikan susun atur yang tidak begitu padat di dalam
kelas dan memastikan kelas mempunyai pelbagai kemudahan kepada para pelajar.
Dari segi emosi pula, guru perlu bersifat peramah, suka hati, menyayangi pelajar
dan mengharapkan kejayaan pelajar mengikut tahap kemampuan pelajar. Dari segi
sosial pula, ia melibatkan hubungan pelajar dengan rakan sebaya bagi membantu
mereka dalam menyiapkan kerja rumah dan menjalankan tugasan kumpulan.
Aktiviti pembelajaran
perlu dikendalikan dalam suasana yang kondusif. Antara cara mewujudkan suasana
yang kondusif dalam kelas ialah dengan mewujudkan suasana pembelajaran yang
lebih dinamik, pembentukan akhlak dan kemahiran tertentu dapat diterapkan
dengan lebih mudah dan berkesan. Guru juga dapat memberikan motivasi yang
berkesan kepada para pelajar dan menanam nilai murni dalam diri pelajar dengan
lebih mudah dan berkesan.
Proses pembelajaran
yang lebih menyeronokkan dapat membantu para pelajar memberi tumpuan dan
memahami pelajaran dalam kelas. Teknik pembelajaran yang menyeronokkan perlu
diaplikasikan di sekolah seperti dengan menggunakan alat bantuan mengajar,
aktiviti berkumpulan dan memberikan peluang kepada pelajar memberi pendapat dan
pandangan. Kaedah supaya pelajar lebih mudah ingat pula ialah dengan
menggunakan kaedah akronim, menyuruh pelajar ke hadapan untuk menyelesaikan
masalah di papan putih, menggunakan video dan menggunakan kaedah gallery walk.
Kesimpulannya,
pengurusan alam pembelajaran ini sangat penting kepada para pelajar bagi
memudahkan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran dan lebih memahami apa yang
mereka pelajari. Selain itu, proses pemindahan maklumat juga dapat berjalan
dengan lancar tanpa gangguan dan pelajar dapat lebih fokus kepada sesuatu topik
sahaja. Guru perlu menguasai beberapa kemahiran dan teknik sebelum memasuki
kelas bagi memastikan para pelajar dapat menerima ilmu pengetahuan dengan
teknik yang mudah dan berkesan.