Friday, December 7, 2018

TOPIK 7: PENGURUSAN SUMBER


Pengurusan ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan proses kerja yang terancang dan dilaksanakan secara sistematik, teratur dan mempunyai garis panduan tertentu. Pengurusan juga terdiri daripada pengarahan dan pengawalan sesebuah kumpulan yang terdiri daripada satu atau lebih entiti untuk tujuan menyelaras dan mengharmonikan kumpulan tersebut bagi mencapai sesuatu matlamat yang telah dirancangkan (Buck, 2010). Abdul Aziz Yusof (2004, 2007) menyatakan bahawa pengurusan merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang menjalankan fungsi pengurusan. Antara fungsi pengurusan termasuklah proses merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi serta menggunakan sumber-sumber yang lain dalam organisasi bagi mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan.

Sumber pula merujuk kepada sesuatu bahan yang boleh digunakan serta dimanfaatkan oleh manusia dalam aktiviti ataupun kegiatan seharian. Sumber terdiri daripada pelbagai kategori iaitu sumber alam atau semulajadi, sumber manusia, kewangan dan teknologi. Kategori sumber ini digunakan manusia secara langsung untuk proses kelangsungan hidup dan mempunyai perkaitan dengan definisi pengurusan tadi. Oleh sebab itu, pengurusan sumber boleh ditakrifkan sebagai bagaimana manusia mengorganisasikan sumber yang ada melalui proses merancang, memimpin dan mengawal untuk mencapai sesuatu matlamat. Dari aspek pembelajaran berasaskan sumber pula, kemahiran mengurus sumber adalah sangat penting bagi menjelaskan sesuatu fakta, membuktikan kesahihan sesuatu fakta dan menyatakan kebenaran fakta berkenaan agar tidak menyimpang atau menyerong dengan etika dan norma-norma masyarakat. Terdapat beberapa jenis sumber atau alat bantu mengajar yang digunakan dalam membantu proses pembelajaran guru. Antara sumber yang digunakan ialah bahan bercetak, bahan teknologi maklumat dan juga bahan maujud. Walaupun jenis-jenis ini mempunyai ciriyang berbeza, namun ianya boleh digunakan bagi memastikan murid- murid memahami akan isi kandungan pelajaran serta mencapai objektifnya.

Sumber bahan bercetak didefinisikan sebagai bahan yang mempunyai tulisan dan wujud secara fizikal. Selain itu, bahan ini boleh disentuh dan dibaca secara terus dan ianya mestilah dihasilkan melalui cetakan bukan daripada tulisan tangan. Sumber bahan bercetak meliputi buku, majalah, jurnal, esiklopedia, surat khabar, buku teks dan sebagainya. Sumber pengajaran dan pembelajaran ini telah diguna pakai oleh guru sejak sekian lama kerana harganya yang murah, senang didapati, mudah diperolehi dan mudah alih. Selain itu juga, bahan bercetak ini merupakan bahan yang kekal dan boleh dibuat dirujuk pada bila-bila masa saja kerana ianya banyak disimpan di pusat sumber, perpustakaan dan arkib negara.

Seterusnya, bahan teknologi maklumat juga salah satu sumber yang digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ramai murid yang menyukainya. Jika sumber ini digunakan secara berkesan, alat bantu mengajar ini dapat meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru mempunyai kemudahan yang luas dalam menggunakan bahan teknologi maklumat ini kerana terdapat perisian-perisian percuma yang disediakan oleh kerajaan di setiap sekolah di seluruh negara dan perisian tersebut bertepatan dengan sukatan pelajaran yang sedia ada bagi kemudahan guru dalam menyampaikan pengajarannya. Antara kelebihan bahan ini ialah murid-murid akan lebih mudah untuk memahami apa yang diajar oleh guru dan dapat mengekalkan minat pelajar untuk pelajaranseterusnya sekaligus dapat meningkatkan prestasi akademik mereka.

Bahan maujud juga sering digunakan sebagai sumber dalam pengajaran dan pembelajaran. Bahan maujud merupakan bahan konkrit atau bahan sebenar yang boleh disentuh dan dipegang. Selain daripada itu juga, bahan ini merupakan bahan yang nyata yang ada disekeliling kita sama ada dalam keadaan hidup atau sudah diawet. Contoh bahan ini ialah komputer, perkakas sains, alat tulis, bangunan dan sebagainya. Selain itu bahan ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu realia asli (bahan yang hidup dan bukan hidup), realia awet (bahan yang telah diawet) dan spesimen (mewakili kumpulan hidupan tertentu seperti daun-daun). Jika guru menggunakan bahan-bahan ini, maka para pelajar akan lebih memahami situasi sebenar berdasarkan gambaran dan bahan yang digunakan dengan mentransformasikan situasi tersebut dalam dunia yang nyata melalui deria sentuhan, penglihatan, rasa dan sebagainya.

Kesimpulannya, pengurusan sumber ini menuntut kepakaran guru untuk mencari dan mengenal pasti sumber yang berkesan dalam pembelajaran seperti bahan bercetak, bahan teknologi maklumat, dan bahan maujud supaya keberkesanan dalam pembelajaran itu dapat dibuktikan.

Thursday, December 6, 2018

TOPIK 6: PENGURUSAN BILIK DARJAH


            Pengurusan bilik darjah merupakan satu proses yang memerlukan guru mengurus bilik darjah agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dapat dijalankan. Tugas mengurus bilik darjah termasuk juga aktiviti mengatur sunsun atur fizikal dan mewujudkan komunikasi dan interaksi di kalangan pelajar dan guru.

Antara pendekatan yang digunakan dalam pengurusan bilik darjah di sekolah ialah dengan menetapkan peraturan dalam bilik darjah yang telah dipersetujui oleh pelajar. Antara contoh peraturan yang perlu diwujudkan ialah seperti peraturan mengenai apa yang perlu dilakukan oleh pelajar ketika guru mengambil kedatangan pelajar, penggunaan cecair pemadam, bagaimana prosedur menjawab pertanyaan guru dan juga peraturan khusus apabila aktiviti kumpulan dijalankan. Dengan wujudnya peraturan, ia akan memudahkan guru mengawal tindak tanduk pelajar.

Selain itu, perancangan terhadap susun atur dalam bilik darjah juga perlu dilakukan. Susunan yang baik seharusnya membolehkan guru memerhati semua pelajarnya dan seterusnya dapat mengendali bilik darjah dengan mudah. Ruang yang kerap digunakan sepatutnya tidak mempunyai sebarang bentuk halangan dan mudah dilalui. Pelajar juga perlu berada di dalam kedudukan yang selesa di mana mereka boleh melihat guru ataupun sebarang persembahan pengajaran oleh guru tanpa perlu berpaling ataupun bergerak ke mana-mana. Bahan yang kerap digunakan di dalam bilik darjah seperti buku rujukan dan kad kebenaran keluar bilik darjah sepatutnya ditempatkan di tempat yang mudah diambil apabila diperlukan.

Selanjutnya, guru juga perlu membina dan menjaga hubungan baik dengan pelajar. Dalam menguruskan pelajar, guru perlu bersabar dan banyak bertolak ansur untuk memenangi hati pelajar agar pelajar lebih menghormati guru mereka. Guru juga perlu menitikberatkan ketrampilan penyampaian ketika memulakan sesi pengajaran di bilik darjah. Kemahiran set induksi merupakan kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh seorang guru pelatih dalam menarik minat serta merangsang pelajar supaya menumpukan perhatian terhadap aktiviti pengajaran yang akan disampaikan guru sebagai pendidik mereka.


Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah adalah merupakan asas penting bagi seorang guru sebelum mereka ingin menyampaikan sesuatu pengajaran. Pengurusan bilik darjah yang sistematik dan teratur akan memudahkan proses PDP dan memberi keselesaan kepada murid dan guru. 

TOPIK 5: PENGURUSAN MURID


Pengurusan ialah proses perancangan, penyusunan, pengarahan dan pengawalan usaha-usaha ahli organisasi dan menggunakan sumber organisasi secara berkesan bagi mencapai matlamat organisasi. Manakala murid adalah orang yang mempunyai potensi asas, yang perlu dikembangkan melalui pendidikan, baik secara fizikal mahupun mental, baik pendidikan itu di lingkungan keluarga, sekolah mahupun di lingkungan masyarakat. Pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Hal ini kerana pelaksanaannya di sesebuah sekolah tersebut akan mencerminkan prestasi sekolah. Kepimpinan sekolah seharusnya memainkan peranan yang lebih daripada hanya menjalankan fungsi pentadbiran dan penyelenggaraan.

            Pengurusan murid terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mengurus rekod murid, kesediaan murid belajar dan memotivasikan murid. Menguruskan rekod murid adalah termasuk dalam pemantapan sistem pengurusan murid di sekolah. Antara perkara yang perlu dilakukan oleh guru dalam menguruskan rekod murid ialah guru perlu menguruskan tugasan murid, melakukan pemantauan terhadap kerja murid, menguruskan hasil tugasan murid, prosedur untuk murid  yang tidak hadir, kriteria-kriteria hasil tugasan, arahan untuk tugasan, komunikasi tugasan dan keperluan tugasan dan maklum balas  dan prosedur pemantauan.

            Kesediaan pelajar pula adalah keadaan diri sendiri yang ada pada seseorang yang bersedia dan kebolehan untuk memperolehi sesutu pengalaman pembelajaran yang baru. Jenis kesediaan belajar pula terbahagi kepada tiga iaitu kesediaan kognitif, kesediaan afektif dan kesediaan psikomotor. Kesedian kognitif ini adalah berkait rapat dengan mental untuk memahami dan juga berfikir dan perkembangan mental juga dikatakan bergantung kepada umur seseorang. Manakala kesediaan afektif pula ialah merujuk kepada sikap, keinginan dan ketekunan untuk menerima pelajaran yang disampaikan. Pelajar yang bersikap positif dan berminat terhadap pelajaran akan memainkan peranan yang aktif dan agesif. Kesediaan psikomotor pula merujuk kepada penguasaan kemahiran yang berpusat kepada tindakan fizikal iaitu fungsi anggota dan pengawalan penyelarasan penggerak di dalam seluruh tubuh badan. Kebolehan setiap murid adalah berbeza dan perancangan pelajaran perlu mengambil kira masalah perbezaan yang wujud dalam diri individu.

Pengurusan murid yang seterusnya adalah memotivasikan murid. Guru perlu mendorong pelajar untuk mencapai   matlamat dan hasil pembelajaran yang ditetapkan oleh guru. Implikasi daripada ini dapat meningkatkan pencapaian pelajar. Guru hendaklah tidak mengabaikan pelajar yang lemah dan sentiasa memberi kata-kata perangsang. Guru hendaklah menggunakan ciri-ciri komunikasi yang positif apabila berhadapan dengan pelajar. Selain itu, suasana pembelajaran yang menyeronokkan juga adakalanya menjadi motivasi untuk murid.

Kesimpulannya, pengurusan murid adalah amat penting bagi bagi memastikan objektif pengajaran adalah tercapai. Guru bertanggungj wab untuk menguruskan murid dan tanggungjawab itu adalah sebahagian daripada usaha untuk membantu meningkatkan pencapaian murid.

TOPIK 4: KEPIMPINAN DAN ORGANISASI



            Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kepimpinan bermaksud keupayaan memimpin iaitu melalui teladan. Gaya   kepimpinan   menurut   Thoha   (1995: 37)   pula   ditakrifkan sebagai perilaku atau cara yang dipilih & dipergunakan pemimpin dalam mempengaruhi fikiran, perasaan, sikap & perilaku orang bawahannya.   Beliau   juga   mengertikan   gaya   kepimpinan   sebagai   perilaku   pemimpin   dalam mempengaruhi   bawahannya   iaitu  kemampuan  pemimpin  untuk  menyatakan  sesuatu  hal dengan  gaya  kepimpinan  tertentu. Gaya kepimpinan terdiri daripada dua kriteria objektif iaitu berorientasikan kerja dan berorientasikan hubungan.

Terdapat beberapa gaya kepimpinan iaitu autokratik, demokratik, Laissez-Faire, kontegensi, Asertive, Responsive dan agresif. Kepimpinan secara Autokratik adalah bentuk hubungan sehala antara pemimpindan dipimpin. Demokratik adalah lebih liberal dan menerima pendapat orang lain. Laissez-Faire pula adalah lebih bersifat memberi kebebasan, kurang unsur-unsur kawalan dan berperanan sebagai pemerhati. Kontigensi pula ianya tiada cara khusus yang sama dalam semua keadaan untuk memimpin dan mengutamakan penganalisisan terhadap kepentingan dan keperluan mengikut keadaan. Asertif pula adalah bersifat bersungguh-sungguh, tegas dan mengeluarkan pendapat supaya diterima oleh orang lain. Responsif ialah pemimpin yang mendengar dan melihat dahulu sebelum bertindak serta tidak memuakan sesuatu tetapi memberi reaksi ke atas sesuatu. Agresif pula adalah gaya kepimpinan jenis yang percaya kepada diri sendiri, berani, mementingkan kuasa dan inginkan keyajaan.

Kemahiran kepimpinan guru pula adalah kebolehan mempengaruhi pelajar dan bertindak sebagai rakan setugas, mentor, pembimbing, pakar kurikulum dan sebagai pembentuk pendekatan yang baru menerajui kumpulan pembelajaran. Selain itu, mengambil bahagian dala tugas-tugas operasi sekolah. Kepimpinan yang penting bagi seorang guru adalah berkeupayaan melakukan perubahan dengan memberi sumbangan idea yang baik, dapat diterima pakai dan melakukan tindakan sesudah dilantik terhadap jawatan yang dipertanggungjawabkan.

Kepimpinan di peringkat sekolah dibarisi oleh pengetua, penolong kanan pentadbiran, penolong kanan HEM, penolong kanan ko-kurikulum, guru kanan bidang. Kompeten kepimpinan guru menurut Clark ialah memiliki ilmu pengetahuan yang luas, mendalam dan terkini. Selain itu, cekap menggunakan segala sumber yang ada secara optimum serta memiliki budaya jadi diri. Seorang pemimpin juga hendaklah mahir dalam berkomunikasi dengan berkesan, produktif, mengamalkan budaya beretika serta mempunyai wawasan organisasinya.

Kesimpulannya seorang pemimpin hendaklah mempunyai kriteria yang berwawasan bagi memimpin orang lain. Organisasi pula merupakan sebuat unit yang sangat membawa impak terhadap sesuatu matlamat. Kedua-dua elemen ini adalah saling berhubung antara satu sama lain.

TOPIK 3: PENGURUSAN DAN PEMBELAJARAN PELAJAR



            Pengurusan membawa maksud proses perancangan, penyusunan, pengarahan, dan pengawalan usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan semua sumber organisasi untuk mencapai matlamat organisasi. Pengurusan pengajaran dan pembelajaran pelajar merupakan sebuah elemen penting yang berperanan dalam meningkatkan prestasi pelajar serta berfungsi dalam penyampaian ilmu. Objektif dalam pengajaran dan pembelajaran juga adalah bergantung kepada sejauh manakah pengurusan dan pembelajaran ini dijalankan. Bagi seorang pendidik, penguasaan terhadap pengurusan bilik darjah adalah penting bagi membolehkan maklumat dapat disampaikan kepada pelajar. Hal ini demikian supaya meningkatkan pengawalan kelas yang berkesan.

Dalam hal ini, guru berperanan sebagai pengurus bilik darjah.  Guru bertanggungjawab untuk merancang, mengelola, mengawal dan mengarah. Dalam aspek merancang ini, sebagai contoh guru berperanan untuk merancang objektif pelajaran, strategi dan kaedah pengajaran, merancang bahan-bahan pengajaran serta susunan fizikal bilik darjah. Dalam aspek mengelola pula, guru bertanggungjawab untuk mengurus rutin bilik darjah, aktiviti murid, aktiviti kumpulan dan kaedah fizikal dan kemudahan. Bagi aspek mengawal pula, guru perlu mengawal peraturan bilik darjah, untuk memastikan tiada masalah disiplin dan mengawal murid yang mempunyai masalah peribadi. Seterusnnya, aspek mengarah memerlukan guru untuk mengarahkan murid menjawab soalan-soalan yang diutarakan. Murid harus mematuhi disiplin di dalam bilik darjah dan mengarahkan murid untuk menguruskan tugas harian bilik darjah.

Sehubungan dengan itu, dalam aspek persediaan rancangan kerja. Guru perlu membuat perancangan terlebih dahulu sebelum mengajar iaitu Rancangan Pembelajaran Harian (RPH). Guru perlu merancang isi pelajaran, teknik mengajar, alat bahan bantu mengajar (ABBM) yang sesuai agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan berkesan. Perancangan perlu mempunyai objektif, teknik dan kaedah. Hal ini bagi membolehkan guru tersebut lebih bersedia untuk mengajar.

Pengurusan sumber pengajaran dan pembelajaran juga adalah sangat penting. Sumber pengajaran terdiri daripada bahan-bahan yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaaan alat bantu mengajar yang bersesuaian dapat melancarkan proses pengajaran. Antara sumber pengajaran dan pembelajaran ialah buku teks, buku rujukan dan alat bantu mengajar.

Kesimpulannya, pengurusan pengajaran dan pembelajaran pelajar adalah sangat penting dalam membawa kepada kemudahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tugasan sebagai sorang guru adalah dipenuhi dengan tanggungjawab, maka apabila suatu tugasan itu diuruskan dengan baik maka sudah pasti akan menghasilkan sesuatu yang baik.

TOPIK 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN


            Interaksi adalah tindakan atau perhubungan aktif antara satu sama lain iaitu tindak balas antara dua pihak atau lebih. Menurut Chaplin, interaksi adalah hubungan sosial antara beberapa individu yang bersifat alami yang individu-individu itu saling memengaruhi satu sama lain secara bersamaan.  

            Terdapat beberapa jenis interaksi yang telah saya pelajari dalam topik yang kedua ini. Antaranya ialah interaksi dalam bilik darjah. Interaksi ini bermaksud saling bertindak antara satu sama dengan yang lain. Dalam hal ini, guru perlu menggalakkan interaksi pelajar sama ada dengan guru atau sesama rakan yang lain semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Interaksi di dalam bilik darjah boleh berlaku dalam bentuk lisan dan bukan lisan.

Terdapat beberapa bentuk interaksi dalam bilik darjah. Pertama, interaksi sehala iaitu guru dan pelajar. Pelajar dipaksa untuk menerima apa-apa sahaja ilmu pengetahuan yang diberikan oleh guru. Pelajar juga tiada kuasa untuk berinteraksi dengan pelajar lain kerana guru menggunakan pendekatan autoritarian dalam interaksi ini. Kedua, interaksi dua hala. Interaksi dua hala berlaku apabila guru bertanya, pelajar akan menjawab dan begitulah sebaliknya. Interaksi dua hala ini menggalakkan pelajar untuk bertanya jika ada kemusykilan tentang apa yang mereka pelajari di dalam bilik darjah. Interaksi yang ketiga pula ialah interaksi kumpulan. Interaksi kumpulan bertujuan untuk menggalakkan penyertaan aktif pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PDP). Guru hanya menjadi pemerhati dan memperbetulkan apa-apa yang perlu sahaja dalam interaksi ini. Melalui interaksi ini, perhubungan murid dengan murid yang lain dapat dieratkan. Semangat untuk bekerjasama, toleransi, tolong-menolong di kalangan murid juga dapat dipupuk. Seterusnya, interaksi pelbagai hala iaitu interaksi di antara guru dengan murid dan murid dengan murid. Ini merupakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bercorak aktif. Perhubungan di antara guru dengan murid juga dapat dieratkan lagi melalui interaksi ini.

Interaksi di dalam bilik darjah adalah untuk menggalakkan komunikasi antara guru dan murid. Komunikasi merujuk kepada pertukaran dan pengaliran maklumat daripada seseorang kepada orang yang lain. Proses penghantaran mesej daripada penghantar kepada penerima dikenali sebagai komunikasi. Komunikasi berkesan hanya akan berlaku apabila penerima memahami mesej yang dihantar dengan tepat. Komunikasi terbahagi kepada dua bentuk iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan. Komunikasi lisan melibatkan pemindahan idea menggunakan bahasa, intosani suara dan dialek yang mudah difahami. Manakala, komunikasi bukan lisan pula melibatkan pergerakan badan, eye contact dan postur badan.



Kesimpulannya, interaksi dalam bilik darjah adalah pelbagai dan sangat penting untuk menggalakan para murid untuk turut serta dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini untuk menimbulkan minat dan perhatian murid terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Komunikasi juga penting untuk tujuan pertukaran maklumat atau idea di dalam bilik darjah.

TOPIK 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN



            Kamus Dewan Edisi Keempat mentaktifkan sosiologi sebagai kajian tentang perkembangan, organisasi, kehidupan dan masyarakat manusia.  Secara umumnya, sosiologi adalah sebuah bidang ilmu yang mempelajari tentang manusia sebagai mahkluk sosial dan interaksi yang terjadi di dalam lingkungan masyarakat. Pembelajaran pula membawa maksud proses interaksi peserta didik dengan pendidik dan sumber belajar pada suatu lingkungan belajar yang meliputi guru dan siswa yang saling bertukar informasi.

            Tiga elemen yang sangat penting dalam topik ini adalah tiga teori utama iaitu Teori Fungsionalisme, Teori Konflik dan Teori Interaksionisme. Teori Fungsionalisme mengkaji perlakuan sosial atau institusi dalam kegiatan yang menyumbang kepada penerusan masyarakat. Masyarakat dianggap seperti tubuh yang mempunyai bahagian dengan fungsi tersendiri iaitu ada tujuan dan keperluan tertentu. Dalam hal ini, struktur sosial akan menentukan kelancaran keharmonian dan perjalanan masyarakat.

            Teori Konflik pula bertujuan untuk menganalisis konflik-konflik dalam masyarakat. Konflik biasanya berlaku dalam struktur masyarakat. Menurut Karl Marx, Teori konflik adalah salah satu perspektif di dalam sosiologi yang memandang masyarakat sebagai satu sistem sosial yang terdiri dari bahagian dan komponen-komponen yang mempunyai kepentingan yang berbeza-beza dimana komponen yang satu berusaha untuk menaklukan komponen yang lain guna memenuhi kepentingannya masing-masing. Teori ini juga membincangkan persoalan mengenai sama ada struktur-strukur masyarakat seperti ekonomi, pendidikan, politik, sosial dan agama membawa kesejahteraan kepada manusia atau sebaliknya.

            Teori yang ketiga ialah Teori Interaksionisme. Teori ini dipelopori oleh George Herbert Mead. Teori Interaksionisme menjelaskan bagaimana seseorang menginterpretasikan dan bertindak menurut kemahuan masing-masing dalam masyarakat. Ia juga mengkaji makna simbolik atau makna yang tersirat secara subjektif. Ia melihat bagaimana makna yang simbolik digunakan dalam interaksi manusia. Interaksi sosial amat penting dalam menghubungkan manusia dengan dunia luar.

            Tuntasnya, pengertian tentang sosiologi yang merangkumi kefahaman tentang Teori Fungsionalisme, Teori Konflik dan Teori Interaksionisme harus dihayati dengan lebih dalam oleh semua pendidik. Hal ini untuk memudahkan semua pendidik untuk berinteraksi dengan masyarakat dan memahami setiap perlakuan atau sikap anak didik mereka.